RFID failure cost RM35 RM1 PLUS toll plaza Touch 'n Go
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat konsesi diarahkan supaya melaksanakan penambahbaikan terhadap keupayaan teknologi imbasan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi mengelakkan kesesakan berlaku di plaza tol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti tempoh pelaksanaan bagi penggunaan pembayaran tol menggunakan sistem berkenaan di semua plaza tol.

Terdahulu katanya, perkara berkenaan merupakan antara yang diutarakan dalam mesyuarat yang diadakan bersama pegawai KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan wakil Syarikat TNG, pada hari ini.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan supaya bilangan pusat jualan kad dan perkhidmatan kad Touch ‘n Go (TNG) ditambah selain KL Sentral dan Bangsar.

Beliau berkata, langkah ini bagi mengatasi kesukaran pelanggan mendapatkan kad TNG dan peranti Smart Tag di pasaran.

Katanya, syarikat berkenaan turut diarahkan melaksanakan advokasi dan notifikasi awal berkenaan pemakluman tempoh kad luput termasuk menambah baik kaedah bayaran balik dan tempoh pemindahan baki.

“Advokasi bagi menjelaskan kepada pengguna bahawa kad visa TNG hanya untuk tujuan pembelian barangan dan perkhidmatan serta pengeluaran wang di mana kad visa diterima. Kad ini tidak boleh digunakan bagi tujuan pembayaran tol dan pengangkutan awam. Kerajaan menyarankan supaya nama kad visa tersebut diubah supaya tidak mengelirukan pengguna memandangkan perkataan ‘Touch ‘n Go’ sinonim dengan sistem pembayaran tol.

“Arahan telah dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan pasar atas talian untuk menurun iklan jualan kad TNG daripada pihak ketiga yang tiada kebenaran menjual daripada pihak syarikat TNG,” katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, beberapa masalah diutarakan dalam mesyuarat tersebut termasuk berkaitan tempoh tamat kad TNG yang tidak disedari pengguna terutama yang menggunakan MyKad.

Selain itu pelanggan turut menghadapi masalah kesukaran mendapat bayaran balik baki wang daripada kad TNG yang dipindahkan.

“Isu berkaitan kad penggunaan kad visa TNG terutama bagi pembayaran tol, penjualan kad TNG di platform atas talian oleh pihak ketiga pada harga yang berlipat kali ganda, masalah laluan di lorong RFID yang tidak lancar dan kesukaran isi ulang baki TNG,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang ini mmg terbaik. Spot on masalah yg rakyat hadapi. Kompeni TnGo ni mmg celaka kadang2. Mentang2 monopoli, bleh buat suka hati kat kami rakyat. Tahniah menteri.

Comments are closed.