Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang disyaki mengugut seorang pemandu kereta dengan menggunakan batu diberkas polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan hari ini daripada seorang lelaki berusia 25 tahun yang mendakwa diugut dengan batu oleh lelaki warga emas.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang ejen hartanah tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin dan membaling sebiji batu ke arah keretanya di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, Kepong ,di sini, pada 28 Disember lalu.

“Ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta di Jalan Metro Prima dan terdapat sebuah lori yang telah menghalang laluan beliau.

“Suspek yang memandu di belakang mangsa telah membunyikan hon dan memaksa mangsa meneruskan pemanduan, suspek juga telah memaki hamun dengan menggunakan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengangkat tangan sebelum beredar.

“Semasa mangsa tiba dan menunggu di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, suspek telah datang ke kereta mangsa sambil membawa sebiji batu bata dan mengetuk cermin hadapan dan tepi kanan serta membaling batu tersebut ke arah bumbung kereta pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 28 saat yang menunjukkan suspek mengugut seorang individu dengan menggunakan batu.

Menurut Heisham, bertindak atas laporan mangsa, polis telah menahan seorang lelaki warga emas pada jam pada pukul 3 petang tadi di Balai Polis Sentul selepas beliau membuat laporan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, berdasarkan laporan polis kedua-dua individu itu, siasatan awal mendapati warga emas yang bekerja sebagai pemandu van mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau.

“Suspek akan direman pada pagi Khamis (esok) di mahkamah bagi membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah.

“Lelaki berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadu di tempat awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette