Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan bergambar bersama penerima selepas menyampaikan Cek Skim Bantuan Awal ke IPT dan Bantuan Khas Yayasan Wilayah Persekutuan kepada penerima ketika di Wisma YWP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan RM1 juta pada tahun 2023 bagi bantuan pendidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT), kemahiran bidang hospitaliti dan penerbangan kepada pelajar yang tercicir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, YWP berperanan membantu meringankan beban rakyat terutama golongan B40 dan miskin bandar menerusi pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“YWP memberikan bantuan secara sekali bayar kepada pelajar yang dapat tawaran ke IPT tetapi menghadapi masalah kekangan kewangan.

“YWP turut menyediakan bantuan kepada permohonan usahawan anak muda kota dengan beri kiosk dan mencari tapak.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun bercakap kepada media pada Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal ke IPT dan Bantuan Khas Yayasan Wilayah Persekutuan ketika di Wisma YWP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2023.

“YWP juga sedang merangka program bidang latihan untuk pelajar tercicir bagi kemahiran dari segi hospitaliti dan penerbangan dalam tempoh setahun sebelum diambil majikan untuk bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal ke IPT YWP secara sekali bayar kepada 16 pelajar peringkat Parlimen Wangsa Maju yang turut dihadiri Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Seramai tiga pelajar diploma menerima cek skim bantuan awal ke IPT masing-masing berjumlah RM500 manakala 13 pelajar Ijazah Sarjana Muda masing-masing menerima RM1,000 secara sekali bayar.

Jelas Zaizalnizam, kriteria yang ditetapkan permohonan ialah pemohon lahir di Wilayah Persekutuan, ibu atau bapa atau penjaga menetap dan mengundi Wilayah Persekutuan serta mempunyai pendapatan perkapita RM1,500 dan ke bawah.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan bercakap kepada media pada Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal ke IPT dan Bantuan Khas Yayasan Wilayah Persekutuan ketika di Wisma YWP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2023.

Sementara itu, Zahir berharap bantuan ini dapat dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk masuk ke IPT.

“Kita dapati mereka mendapat tawaran tetapi tidak mampu untuk masuk ke universiti kerana kekurangan wang.

“YWP telah mengambil inisiatif untuk memastikan pelajar-pelajar yang layak masuk ke IPT tidak terhalang dengan kekangan kewangan.

“Bantuan secara sekali bayar yang diberi oleh YWP untuk masuk ke IPT sekiranya tidak cukup, pelajar boleh mohon untuk bantuan lain seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan agensi-agensi lain yang menawarkan biasiswa,” katanya. – MalaysiaGazette