Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof beramah mesra dengan ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kementerian selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bersama warga kementerian Perladagangan dan Komoditi di Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 25 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu disaran memfailkan petisyen bantahan di mahkamah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan memfailkan kes berkenaan, pihak-pihak terbabit boleh membawa bersama bukti dakwaan bahawa PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah.

Menurut beliau, semua pihak boleh bercakap mengenai rasuah namun, ia perlu dibuktikan dan tempat yang sesuai adalah menerusi saluran perlembagaan.

“Kalau sekadar cakap, saya kira ramai boleh cakap, tapi bawa ke mahkamah, itu merupakan tempat yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan dan segala peraturan.

“Jadi bawalah siapa tak puas hati dan buktikan PRU itu patut dibatalkan disebabkan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila mendakwa hampir semua calon Pilihan Raya Umum ke-15 yang menang kerana menawarkan rasuah.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, parti calon terbabit telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk berkempen.

Beliau mendakwa, PRU15 adalah pilihan raya yang paling korup daripada semua pilihan raya yang diadakan di Malaysia.

Mahathir mendakwa rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerima rasuah sejurus sebelum masuk mengundi.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, dalam kerajaan banyak agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara berkaitan rasuah.

“Biarlah agensi laksana tugas, dan peranan mereka kalau terbukti nak bawa ke muka pengadilan, dan proses pilihan rata Malaysia kalau dapat buktikan, mereka boleh failkan di mahkamah untuk bawa ke mahkamah,” ujarnya tanpa menyatakan pihak-pihak yang dimaksudkan. – MalaysiaGazette

Hampir semua calon PRU menang kerana rasuah, dakwa Tun M