Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa hampir semua calon Pilihan Raya Umum ke-15 yang menang kerana menawarkan rasuah.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, parti calon terbabit telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk berkempen.

Beliau mendakwa, PRU15 adalah pilihan raya yang paling korup daripada semua pilihan raya yang diadakan di Malaysia.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 boleh dikatakan dengan jujur bahawa hampir setiap calon yang menang, berbuat demikian kerana dia telah menawarkan rasuah besar dan partinya telah membelanjakan ratusan juta untuk berkempen.

“Hasilnya hanya calon yang korup dan parti yang korup yang menang dalam pilihan raya.

“Yang sudah tentu bermakna Kerajaan Malaysia akan sentiasa rasuah,” kata Mahathir yang tewas buat pertama kali dalam pilihan raya pada PRU15 lalu.

Dr. Mahathir mendakwa rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerima rasuah sejurus sebelum masuk mengundi.

Malah katanya, terdapat ramai orang yang melihat wang  diserahkan.

“Terdapat sedikit atau tiada percubaan untuk disembunyikan kerana wang itu diberikan dan arahan mengenai simbol yang perlu dipalang dalam slip mengundi.

“Golongan pencegah rasuah malah polis pasti melihat perbuatan rasuah itu. Tetapi sehingga kini tiada sesiapa yang telah ditangkap atau didakwa.

“Merasuah pengundi sudah menjadi kebiasaan. Pengundi mengharapkannya, pegawai parti menganggapnya sebagai tugas mereka dan mereka yang melihat rasuah itu merasakan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses pemilihan,” kata Dr. Mahathir.

Beliau berkata, terdapat bukti lain tentang rasuah semasa pilihan raya yang berlaku tanpa halangan.

Ini termasuk perbelanjaan kepada beribu-ribu pekerja dan sukarelawan parti yang dibayar pada PRU15.

Beliau mendakwa seorang calon tunggal membelanjakan sebanyak RM25 juta dan setiap parti telah membelanjakan RM100 juta ketika PRU15.

Dr. Mahathir menegaskan, terdapat keperluan untuk mengehadkan jumlah perbelanjaan calon dan parti.

Apa yang berlaku sekarang, menurut beliau, adalah rasuah dan wang yang dibelanjakan untuk berkempen tidak terhad.

Untuk rekod, parti yang diwakili Mahathir iaitu GTA dan Pejuang kalah teruk pada PRU15 tanpa seorang calon menang dalam pilihan raya yang diadakan pada November tahun lalu. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ada calon yb buat majlis ceremah bagi makan-makan dan bagi sunbangan kepada penduduk. Balik kampung boleh minta duit minyak untuk pengundi luar. Sejak mula wujud BRIM, perkara memberi wang dan minta wang sudah menjadi perkara biasa oleh rakyat malaysia. PM sulu pernah berkata Money is King

Comments are closed.