Mohd Ridzuan Abdullah dibawa ke mahkamah bagi menghadapi 12 pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR —  Tiga individu termasuk calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas keseluruhan 50 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM2.43 juta.

Semasa perbicaraan dihadapan Hakim Rozina Ayub, pemilik Syarikat PUPA International Sdn Bhd, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 54, dan pemilik syarikat Era Media Sdn Bhd, Lee Hong Rong, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mohd Ridzuan berdepan 12 pertuduhan membabitkan pemberian Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan Syarikat PUPA International Sdn Bhd bagi menuntut insentif berjumlah RM378,000.

Dia dituduh melakukan kesalahan berkenaan dengan niat memperdaya Perkeso untuk mempercayai dokumen yang mengandungi pernyataan palsu tentang gaji sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak menerima gaji itu.

Mengikut kertas pertuduhan, perbuatan itu dituduh dilakukan melalui pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso di Menara Perkeso Putrajaya antara 2 Mac 2021 hingga 2 April 2021.

Lee Hong Rong mengaku tidak bersalah terhadap 31 pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2023.

Hong Rong yang kerja hakikinya sebagai pembantu IT pula berdepan 31 pertuduhan membabitkan pemberian dokumen pengesahan sama pada 23 April 2021 hingga 21 Jun 2021 melalui pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso bagi menuntut insentif sebanyak RM1,872,500.

Kesalahan itu dituduh dengan niat memperdaya Perkeso untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan yang palsu tentang Bantuan Mobiliti dan gaji sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak menerima bayaran berkenaan.

Pegawai SPRM mengiringi Raymond Sim yang menghadapi tujuh pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2023.

Sementara itu dalam prosiding berasingan dihadapan Hakim Suzana Hussin, pemilik syarikat Minbot Sdn Bhd, Raymond Sim, 35, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memberikan borang pengesahan melalui pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program sama sebanyak RM153,200 pada 3 Jun 2021 hingga 15 September 2021.

Dia yang juga pemilik syarikat Fireshot Marketing Sdn Bhd dituduh dengan niat memperdaya Perkeso mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang Nama Pekerja Baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut bukan pekerja Minbot Sdn Bhd.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozina membenarkan Mohd Ridzuan dan Hong Rong diikat jamin masing-masing RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes tamat.

Beliau juga menetapkan 3 Mac untuk sebutan semula kes.

Hakim Suzana pula membenarkan Raymond diikat jamin RM30,000 dengan syarat tambahan sama dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Februari depan.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Mohd Aliff Shaharuzaman.

Mohd Ridzuan yang pernah menjadi calon Pejuang bagi kerusi Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum lalu, diwakili Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Hong Rong diwakili Lim Chi Chau, manakala Datuk Joshua Kevin mewakili Raymond.

Untuk rekod, pada 14 Julai tahun lalu, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 70 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif.

Mereka ditahan menerusi Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara 13 Julai tahun lepas dengan kerjasama Perkeso. -MalaysiaGazette