Dua treler membawa muatan pelbagai jenis kereta Perodua berlanggar di Lebuhraya NKVE menyebabkan sebuah kereta dari muatan itu terjatuh manakala pemandu treler itu tercedera dalam kejadian petang tadi.Ihsan IPD PJ

PETALING JAYA – Dua treler yang membawa kereta baharu Perodua berlanggar di Kilometer 21.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan hari ini menyebabkan kesesakan di lebuh raya itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya yang laporan mengenai insiden itu pada jam 2.27 petang.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku jam lebih kurang 1.52 petang tadi,yang mana treler yang membawa muatan kenderaan baharu berjenama Perodua sedang dalam perjalanan daripada premis Perodua cawangan Rawang menuju ke Klang sedang dipandu perlahan di lorong kiri lebuh raya.

“Treler berkenaan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi treler yang turut membawa jenis muatan (pelbagai jenis model kereta Perodua) dan dalam perjalanan menuju ke destinasi yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat pelanggaran itu, kereta Perodua yang dibawa kedua-dua treler tersebut mengalami kerosakan.

Katanya, salah sebuah kereta terbalik di lokasi.

Menurut Mohamad Fakhruddin, pemandu treler yang mengalami kecederaan ringan di kepala dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Tambah beliau, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menyalurkannya dengan tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Muhamad Aizuddin B. Awang di talian 013-9003499. – MalaysiaGazette