Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Isu ekonomi berkaitan dividen penduduk setempat di Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK), Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Orang Asli Kuala Betis, merupakan antara perkara yang dibangkitkan masyarakat Orang Asli di Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat I, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, perkara lain yang turut dibangkitkan adalah isu ketirisan dan kecurian buah kelapa sawit yang dilaporkan berlaku di Ladang TSK.

Katanya, apa yang terjadi merupakan sabotaj terhadap ekonomi masyarakat Orang Asli dan perkara itu perlu dipandang serius serta wajar diambil tindakan segera.

“Saranan kepada pihak kontraktor yang terlibat iaitu RISDA Plantation Sendirian Berhad dan JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Jika terdapat bukti, tindakan perundangan akan diambil dengan sewajarnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ramli memaklumkan, pihaknya telah diundang oleh JAKOA ke Majlis Perjumpaan Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Kelantan yang bertujuan bagi memperoleh maklumat berkaitan permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli tempatan.

Pada sesi tersebut kepimpinan masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA) telah membangkitkan isu berkenaan.

Ramli turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya individu yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut sehingga didakwa di mahkamah. – MalaysiaGazette