Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat pemeriksaan motorsikal pada Operasi Penguatkuasaan Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kesalahan melibatkan penunggang motosikal menurun secara signifikan sepanjang empat hari penguatkuasaan Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina berbanding tempoh sama tahun lepas

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, sebanyak 236 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu berbanding 1,130 dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, penurunan yang ketara melibatkan kesalahan tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Perkembangan ini menunjukkan para penunggang motosikal memiliki kesedaran tinggi untuk mematuhi peraturan jalan raya.

Mohd Zaki Ismail membuat pemeriksaan motorsikal pada Operasi Penguatkuasaan Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

”Hasil pemerhatian kita mendapati kebanyakan pengguna sangat patuh kepada peraturan JPJ semasa berada di atas jalan raya, yang mana kesalahan tidak memakai topi keledar, tidak pakai tali pinggang keledar dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu sangat sedikit bilangannya kali ini.

“Saya berharap kesedaran ini dapat diteruskan oleh pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah tinggi dan pemantauan JPJ ini juga akan diteruskan walaupun di luar tempoh Op Motosikal Tahun Baru Cina ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Op Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi di sini malam tadi.

Seramai 57 anggota JPJ bersama agensi penguatkuasaan keselamatan lain iaitu Imigresen, AADK dan juga JAs yang keseluruhanya membabitkan kekuatan anggota seramai 93 orang terlibat dalam operasi tersebut bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat pemeriksaan motorsikal pada Operasi Penguatkuasaan Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

Tambah beliau, statistik tahunan juga menunjukkan lebih kurang 60 peratus kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal.

Oleh itu, beliau menyeru kenderaan lain turut bertolak ansur dengan penunggang motosikal memandangkan bukan semua jalan raya di negara ini dilengkapi dengan kemudahan lorong khas untuk motosikal.

“Jadi risiko semasa penunggang motosikal berada bersama kenderaan berat sangat tinggi terutama blindspot besar yang mana lori berat tidak mampu melihat motosikal yang ada di sebelah kiri dan kanan atas jalan raya,” ujarnya.

Dalam Op Motosikal malam tadi, sebanyak 134 notis dikeluarkan membabitkan kesalahan berkaitan lesen kenderaan motor (LKM), nombor pendaftaran (35), tiada lesen (89), tiada cermin sisi (3) dan lain-lain (5 kes).

Katanya, JPJ turut memeriksa seramai 17 warga asing yang mana seorang lelaki warga Pakistan pula ditahan selepas dokumen perjalanan dirinya tamat tempoh, manakala AADK menahan seorang lelaki yang positif dadah hasil pemeriksaan terhadap 12 individu.

“Sementara itu, sebanyak lima motosikal dikesan melakukan kesalahan (ekzos bising) manakala sebuah lagi motosikal disita kerana tiada cukai jalan sejak Februari tahun lalu dan penunggangnya, seorang warga asing tidak memiliki lesen memandu.

“Operasi pada kali ini memberi fokus kepada semua jenis kesalahan berkaitan pelesenan pemandu, pelesenan kenderaan dan lain-lain kesalahan teknikal.

“Para pemilik dan penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan termasuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti perlumbaan haram, merempit serta menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya yang boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast