Shaiful Hazizy PRU
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dinasihatkan supaya tidak menghasut serta menakut-nakutkan rakyat tentang perkara yang tidak benar.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin memberi nasihat itu ekoran dakwaan Muhammad Sanusi berhubung kemungkinan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di negeri itu.

Menurut beliau, sebagai ketua kerajaan negeri, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya mengambil fakta separuh masak dan menjadikannya sebagai kesimpulan akhir.

“Minta para pegawai jangan malas cari jawapan, buat semakan fakta. Malu ‘kopiah’ atas kepala tapi sebar dan buat fitnah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Shaiful Hazizy mengulas tentang rakaman video tular yang memaparkan Muhammad Sanusi mendakwa pilihan raya PBT adalah matlamat terbesar DAP dalam aspek perumahan dan kerajaan tempatan.

Beliau berpandangan, kenyataan Muhammad Sanusi tersebut adalah bersifat spekulatif dan hanya tuduhan rambang semata-mata.

Pada masa yang sama, Shaiful Hazizy menegaskan, UMNO Kedah tidak akan teragak-agak untuk menyatakan pendirian membantah dan menentang sebarang cadangan yang menjurus, sama ada secara langsung atau sebaliknya, ke arah mengadakan pilihan raya PBT.

“UMNO telah berkali-kali menyatakan pendirian tentang perkara ini sebelum ini dan pendirian tersebut masih teguh dan tidak berubah,” jelasnya.

Beliau juga yakin Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menumpukan seluruh kepakaran dalam menangani isu rumah mampu milik dan isu ketidaksepadanan antara bekalan dan permintaan dalam industri perumahan berbanding agenda pilihan raya PBT.

“Agenda perumahan mampu milik telah menjadi antara agenda utama kerajaan Barisan Nasional (BN) pada setiap belanjawan tahunan, Rancangan Malaysia serta manifesto BN ketika pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast