ALOR SETAR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu membuat lawatan kerja rasmi ke Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selama 3 hari bermula 25 hingga 27 Januari 2023.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad menyantuni wakil-wakil penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dan Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan pertanian iaitu Persekutuan Penanam-penanam Padi Kedah dan Kilang Beras Melayu dalam satu sesi libat urus di Ibu Pejabat MADA.

Katanya, dalam majlis sesi libat urus berasingan bersama Peladang PPK MADA B-IV,Pengkalan Kundor beliau telah menyampaikan lima jenis bantuan.

Bantuan tersebut ialah Dana Bantuan Khas Pesawah Tahun 2023, penyampaian Modal Pusingan Operasi Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) dan penyerahan Jentera Projek Guna Semula Jerami Padi sebanyak RM332,500 kepada tiga penerima terdiri daripada dua buah PPK iaitu PPK MADA A-IV, Batas Paip serta PPK MADA B-I, Kayang dan Usahawan Jerami MADA dari PPK B IV, Pengkalan Kundor.

Selain itu Mohamad turut menyerahkan Geran Agropreneur Muda (GAM) sebanyak RM80,000 kepada empat orang penerima dan menyerahkan Zakat Agrobank Kepada PPK MADA bagi membantu dan meringankan kehidupan serta kebajikan golongan asnaf yang juga merupakan ahli-ahli di setiap PPK.

“Untuk rekod, MADA telah melaksanakan Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang merupakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti tanaman padi melalui penyatuan pengurusan tanaman padi berskala besar.

“Sebanyak RM7.61 juta disediakan sebagai modal pusingan operasi projek PPSB kepada empat PPK iaitu PPK MADA E-I, Simpang Empat, PPK MADA C-II, Kerpan, PPK MADA C-III, Tajar dan PPK B-IV, Pengkalan Kundor,” katanya.

Lawatan ini turut diiringi Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Lokman Hakim Ali, Pegawaipegawai Kanan Kementerian serta Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi dibawah MAFS.

Sementara itu, Mohmaad memaklumkan bahawa bantuan khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 telah disalurkan kepada pesawah secara berperingkat di tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya, sehingga pertengahan Januari seramai 20,181 orang pesawah di ketiga-tiga negeri berkenaan telah menerima manfaat daripada bantuan khas BERNAS yang berjumlah RM250 bagi setiap pesawah.

Menurut Mohamad lagi, baki sumbangan sebanyak RM50 juta dijangka diterima daripada BERNAS menjelang akhir bulan ini.

Pesawah di negeri-negeri lain akan menerima bantuan khas ini selewat-lewatnya awal bulan Mac hadapan, ujarnya.

Seramai 219,402 baki pesawah akan turut menerima bantuan khas BERNAS ini secara berperingkat.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui MADA akan terus komited dalam memastikan nasib dan kebajikan para pesawah terjaga dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette