Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd (dua kanan) pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bersama warga kementerian Perladagangan dan Komoditi, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 25 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Industri sawit Malaysia kerugian kira-kira RM20 bilion tahun lalu ekoran kekurangan tenaga kerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kekurangan tenaga kerja ini telah menyebabkan produktiviti hasil kelapa sawit terjejas dengan teruk.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, sektor perladangan sawit mengalami kekurangan seramai 63,000 tenaga kerja asing hingga mengakibatkan hasil komoditi itu terjejas teruk.

Untuk menyelesaikan masalah itu, kerajaan bersetuju untuk memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0., kata beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.

Katanya, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga akan mengadakan perbincangan dengan negara sumber bagi memastikan kemasukan pekerja asing ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Untuk tenaga pekerja asing ini, KDN dan KSM merupakan kementerian peneraju dan mereka akan pergi ke Indonesia dan Bangladesh yang merupakan pembekal tenaga ini untuk  bincang.

“Di peringkat Malaysia, apa diputuskan di Kabinet ialah untuk memudahkan segala proses,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.

Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bagi tenaga kerja yang berakhir pada 3 Disember tahun lalu, diteruskan selama setahun berkuatkuasa serta merta.

Sebelum ini, Pelan Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja yang dilaksanakan sehingga 31 Disember lalu menyaksikan pendaftaran 418,649 PATI manakala 295,425 PATI kembali ke negara masing-masing melalui Program Rekalibrasi Pulang.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, urusan untuk mengambil tenaga kerja bagi peringkat dalam negara sudah selesai.

Beliau berkata, cuma pada peringkat masa ini, negara perlu memastikan di peringkat luar yang mengeskport tenaga kerja itu memudahkan proses.

“Kalau pihak eksport tidak memudahkan, ini akan jadi kekangan. Itu yang akan dikendalikan oleh pihak kementerian ini dan KSM,” ujarnya.

Sementara itu, Fadillah berkata, dalam sesi pemukiman Jemaah Menteri, semua kementerian diarah menyediakan KPI.

Beliau berkata, KPI itu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu bagi jangka masa pendek (100 hari), sederhana (2 tahun) dan panjang (5 tahun).

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, mengenai tindakan Indonesia yang meletakkan penanda aras sendiri bagi harga minyak sawit mentah (MSM) mereka, negara akan berbincang dengan Indonesia pada bulan depan.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang secara bersama dengan Indonesia bagi memastikan tindakan menetapkan harga itu turut memberi manfaat kepada negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Takkan ratusan ribu para penganggur warga tempatan tak nak gaji 2 ribu ringgit kerja sementara sawit tahun lepas.

Comments are closed.