Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran bantahan kes membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali masih lagi tidak diwakili mana-mana peguam bela atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella ketika prosiding bela dirinya berlangsung pagi ini.

Bagaimanapun, Hakim Izralizam Sanusi membuat ketetapan untuk tidak lagi memberi sebarang penangguhan sebaliknya mengarahkan Siti Bainun terus membaca kenyataan saksi bermula hari ini.

Kata Izralizam, prosiding bela diri perlu diteruskan hari ini dan esok walaupun tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

“Adakah kamu tahu keseriusan kes ini? Adakah kamu membuat laporan kepada Majlis Peguam tentang tindakan peguam-peguam kamu tarik diri saat akhir daripada mewakili kamu,” soalnya.

Namun kata Siti Bainun dia tidak membuat apa-apa aduan memandangkan ada kalangan peguam itu masih membantunya menyediakan kenyataan saksi dan lain-lain.

Kata hakim lagi, beliau membenarkan Siti Bainun untuk membaca kenyataan saksi yang hampir 200 muka surat yang juga mungkin akan memakan masa sehingga dua hari manakala pemeriksaan balas boleh dilakukan pada tarikh perbicaraan seterusnya, 20 Februari depan. 

Pada 17 Januari lepas, Siti Bainun, 31, dalam nada sebak memberitahu Mahkamah Sesyen, salah seorang peguam belanya, Asiah Abd. Jalil  berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada terus mengendalikan kes itu.

Untuk makluman juga, selain Asiah empat lagi peguam mewakilinya turut menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sehingga menyebabkan tertuduh memohon bantuan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Prosiding ditangguh ketika ini dan akan disambung sebentar lagi.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun yang didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001 berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette