Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berteka teki dengan status keahlian Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, untuk mengetahui perkara itu, media perlu tunggu hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam esok.

“Tunggu apabila MKT buat mesyuarat.

“Untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting, saya kata dalam PAU2022 kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran termasuk mereka yang sabotaj parti dan calon parti dalam PRU15 dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pru diadakan,” katanya

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai status Khairy Jamaluddin yang membidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi kerana mempersoalkan tindakannya memuji beberapa ahli parti yang membuat aduan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap keputusan UMNO untuk mengekalkan dua jawatan tertinggi parti itu daripada ditandingi dalam pemilihan parti.

Sebelum ini, Khairy mengkritik gesaan untuk menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan dan menyifatkannya sebagai ‘kegilaan’ dan cubaan untuk menyekat demokrasi.

Malah dalam kempennya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu, Khairy mendakwa, UMNO telah hilang arah dan perlu kembali ke akar umbinya.

Sementara itu, Ahmad Zahid membayangkan selain bekas Ahli Parlimen Rembau itu ada lagi pemimpin UMNO yang akan ditentukan nasibnya esok.

Ditanya berapa ramai pemimpin atau ahli UMNO yang akan dipecat atau digantung, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat MKT.

“Bila (pembersihan) besar-besaran maknanya adalah (mereka-mereka yang akan dipecat), mana terasa atau belum terasa insya-Allah esok malam akan terasa.

“Tak boleh beritahu awal (jumlah yang akan dikenakan tindakan).

“Sila datang beramai-ramai kalau nak mengetahui senarai-senarai mereka yang terlibat itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast