KUALA LUMPUR – Hujan berterusan dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada 9 pagi ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta seluruh kawasan di Terengganu.
Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Berikutan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Peringkat (JPB) Negeri/Daerah diaktifkan serta tahap kesiapsiagaan ditingkatkan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.
JPB Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.
NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal selain boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 atau e-mel [email protected]. – Bernama