Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Lebih 456, 000 penerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mula terima manfaat dari pelarasan kos sara hidup bagi faedah berkala dan kenaikan pencen minimum Skim Keilatan.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berharap kedua-dua inisiatif itu akan dapat meringankan beban kewangan, meningkatkan kesejahteraan dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi penerima-penerima faedahnya.

Sebelum itu, PERKESO, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan pelarasan kos sara hidup bagi semua penerima faedah berkala dan kenaikan kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan PERKESO berkuat kuasa 1 Januari 2023

“Pelaksanaan kedua-dua inisiatif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 456,000 penerima faedah PERKESO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka, katanya, adalah penerima faedah-faedah PERKESO di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4 seperti Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Pencen Ilat dan Pencen Penakat.

“Pelarasan yang dilaksanakan kepada faedah berkala dan pencen yang dibayar kepada penerima faedah PERKESO berupaya membantu mereka menangani peningkatan kos barangan dan perkhidmatan di negara ini terutamanya dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Inisiatif pelarasan kos sara hidup bagi penerima faedah berkala sedia ada dan kenaikan kadar pencen minimum adalah lanjutan daripada Kajian Penilaian Aktuari ke-11 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi semasa di Malaysia, kesan daripada pandemik Covid-19, peningkatan kos sara hidup dan kenaikan kadar inflasi.

“Kedua-dua langkah tersebut akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM234 juta,” ujarnya.

Bagi Pelarasan Kos Sara Hidup untuk faedah berkala PERKESO kali ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 penerima faedah dan membabitkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM213 juta.

Sejak 1977 sehingga kini, katanya, pelarasan Kos Sara Hidup bagi bayaran faedah berkala PERKESO telah dibuat sebanyak 12 kali di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan 10 kali di bawah Skim Keilatan.

Kadar pelarasan Kos Sara Hidup bagi penerima faedah berkala PERKESO yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 adalah antara 0.7 peratus hingga 9.4 peratus mengikut tarikh terakru (tahun pencen diterima) dengan peratus pelarasan ditetapkan.

Sejak tahun 2015 hingga 2019, kadarnya berbeza dari 0.7 hingga 9.4 peratus.

Sementara itu, pelaksanaan kenaikan Kadar Pencen Minimum di bawah Skim Keilatan ditingkatkan daripada kadar sedia ada iaitu sebanyak RM475 sebulan kepada RM550 sebulan.

Peningkatan Kadar Pencen Minimum akan memanfaatkan kira-kira 56,000 penerima faedah dalam membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup.

“Peningkatan ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM21 juta,” kata Mohammed Azman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast