KUALA LUMPUR – Kelibat pemimpin UMNO kelihatan tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn bagi menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bermula 8.30 malam ini.
Antaranya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khalded Nordin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Manakala Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ahli MKT, Datuk Dr. Puad Zakarshi juga hadir.
Mesyuarat yang dijangka berlarutan sehingga 12 tengah malam itu membincangkan tindakan yang diambil terhadap beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan sabotaj dan mengkritik kepemimpinan parti.
Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa parti akan melakukan ‘pembersihan’ secara besar-besaran menyebabkan media ‘berkampung’ di lobi ibu pejabat parti itu malam ini.
Pemimpin yang disebut-sebut bakal dikenakan termasuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Tindak tanduk bekas Menteri Kesihatan itu didakwa melanggar disiplin parti berikutan kelantangannya mengkritik pucuk pimpinan.
Selain Khairy Jamaluddin, tindakan terhadap bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan beberapa pemimpin UMNO Tanjong Karang juga dikatakan akan di bawa ke meja rundingan.
Noh dan pemimpin UMNO Bahagian Tanjong Karang didakwa terbabit dalam mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Turut menjadi tumpuan sama ada mesyuarat malam ini sama ada akan diputuskan tarikh pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum Mei ini. – MalaysiaGazette