KUALA LUMPUR – Hanya kerana meminta hutang RM250 daripada rakannya, seorang warga emas meninggal dunia akibat diserang menggunakan kerusi dalam pergaduhan dengan kawan lamanya di Sentul hari ini.
Insiden itu berlaku di sebuah kedai makan di Metro Prima, Kepong, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.
Menurutnya, lebih kurang pukul 7.30 pagi tadi, polis telah menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan tentang pergaduhan tersebut.
Pengadu yang berusia 48 tahun dalam laporan memaklumkan berlaku pergaduhan di kedai makan antara dua lelaki sehingga mengakibatkan salah seorangnya meninggal dunia.
“Pasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian dan siasatan mendapati satu pergaduhan berlaku antara dua rakan berlaku pukul 6.45 pagi hadapan kedai makan.
“Mangsa adalah seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun didapati meninggal dunia di tepi jalan lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian itu.
“Dalam pergaduhan itu, mangsa telah dipukul oleh suspek menggunakan sebuah kerusi plastik manakala mangsa mempertahankan diri dan membalas serangan suspek dengan menggunakan sebarang rod kabel.
“Namun pergaduhan itu dileraikan beberapa anggota sukarelawan yang berada di tempat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Eng Lai, selepas kejadian, mangsa yang tercedera kemudian beredar dengan berjalan kaki sebelum rebah di tepi jalan pada jarak 100 meter dari tempat kejadian.
Menurut beliau, beberapa jam selepas insiden, suspek yang juga merupakan lelaki warga emas berusia 63 tahun telah ditahan di Balai Polis Kepong ketika tampil untuk membuat laporan polis mengenai kejadian yang sama.
“Kemudian polis juga berjaya merampas sebuah kerusi plastik berwarna putih dan sebuah rod kabel hitam yang digunakan dalam pergaduhan itu untuk siasatan lanjut polis.
“Siasatan punca pergaduhan itu tercetus akibat masalah hutang yang mana suspek yang berhutang dengan mangsa gagal melunaskan wang itu apabila dituntut oleh mangsa.
“Apabila mangsa tampil menuntut wang hutang itu daripada kawan lamanya, suspek yang berang terus bertindak bergaduh dengan simati dengan menyerang menggunakan kerusi plastik manakala mangsa membalas dengan rod kabel hitam,” ujarnya.
Suspek kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut polis dan akan dipohon reman pagi Sabtu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dan proses bedah siasat akan dilakukan pada pagi esok bagi mengetahui punca kematian mangsa.
“Polis juga akan menunggu laporan bedah siasat esok bagi menentukan punca kematian, pada masa sama akan meneruskan siasatan latar belakang mangsa sekiranya mempunyai sebarang sejarah penyakit atau faktor usia tua yang mungkin boleh mendorong kepada kematian selepas pergaduhan itu,” ujarnya.
Suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati. – MalaysiaGazette