Kira- kira 60 pengusaha tapak perkhemahan sekitar daerah ini kesal dengan tindakan saman tanpa notis  daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sejak beberapa hari lalu.- Gambar hiasan.

HULU SELANGOR – Kira- kira 60 pengusaha tapak perkhemahan sekitar daerah ini kesal dengan tindakan saman tanpa notis  daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sejak beberapa hari lalu.

Mereka kesal kerana tindakan saman dikenakan  sedangkan isu berkaitan pelesenan hanya akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Ahad ini.

“Kata baru nak bincang mengenai urusan pelesenan tetapi tindakan saman menyaman sudah bermula,” kata wakil pengusaha tapak perkhemahan Hulu Selangor yang mahu dikenali Cik Mee di sini hari ini.

MPHS kini agresif menjalankan pemeriksaan terhadap pengusaha tapak perkhemahan seluruh daerah Hulu Selangor selepas tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang di Father’s Organic Farm dekat Gohtong Jaya pada Disember lalu.

Sejak beberapa hari lalu, tindakan saman telah dikenakan terhadap pengusaha tapak perkhemahan.

Tindakan saman adalah mengikut Seksyen/Peruntukan Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan & Perindustrian (MDHS) 2007 (menjalankan perniagaan tanpa kebenaran (tapak perkhemahan).

Sehubungan itu, beliau merayu agar MPHS bertimbang rasa dan memberi masa kepada pihak pengusaha tapak perkhemahan untuk ‘menghadam’ keputusan yang akan dibuat sewaktu sesi town hall bersama Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam & Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han pada Ahad ini.

“Modal kami kecil dan majoriti daripada kami masih belum mendapat pulangan modal. Ini sumber rezeki kami untuk menyara keluarga. Dalam keadaan ekonomi sekarang, kami tidak mampu nak bayar saman.

“Kami harap pihak terbabit memberi ruang dan masa yang cukup untuk kami menyediakan dokumen yang diperlukan,” katanya.

Beliau berharap MPHS menghentikan sementara tindakan saman sehingga penyelesaian yang menang-menang  dicapai antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, seorang pengusaha tapak perkhemahan di Ulu Rening yang hanya mahu dikenali Adanan terkejut dikenakan tindakan saman oleh MPHS.

“Saya disaman RM1,000. Apa yang saya kesal adalah saya tidak menerima apa-apa notis daripada MPHS,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati kesemua pengusaha tapak perkhemahan seluruh Hulu Selangor merayu agar tindakan saman dihentikan sehingga sesi town hall selesai pada Ahad ini.

“Kami mohon pihak MPHS menghentikan sementara tindakan saman sehingga sesi town hall bersama Sze Han dan pegawai dari Unit Perancangan MPHS selesai,” katanya. – MalaysiaGazette