Prof. Dr. Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak (dua dari kanan), Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kiri), Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abdul Rahman (kanan) dan Mastura Mohd Khalid (kiri) bergambar bersama selepas menandatangani MoU.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan International Islamic University Malaysia (IIUM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang dalam meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan hubungan dan kerjasama dalam membudayakan amalan penabungan, meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar tentang bayaran balik pinjaman dan memperkasakan pembangunan penyelidikan serta pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang berkualiti.

“Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, misi utama PTPTN ialah menggalakkan masyarakat memulakan simpanan dari seawal usía satu hari, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

“Justeru, kerjasama dengan IIUM sangat dialu-alukan dalam meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan perancangan kewangan yang baik sekali gus dapat mengelak keberhutangan melampau di usía muda serta membantu dalam pembentukan sahsiah dan akhlak yang baik pada masa depan,” kata PTPTN dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Majlis menandatagani MoU tersebut telah diadakan di IIUM Kampus Gombak, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Rektor IIUM, Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir pada majlis Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) IIUM, Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

PTPTN dan IIUM bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya membudayakan penabungan Simpan SSPN bagi seluruh warga IIUM serta membangunkan penyelidikan dan pembangunan agar idea-idea baru dapat ditingkatkan berkaitan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.

Selain itu, meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar berupaya memenuhi keperluan industri,  menjalinkan jaringan kerjasama di dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui tanggungjawab sosial korporat antara PTPTN dan IIUM, penyampaian informasi atau promosi PTPTN menerusi billboard di premis IIUM dan jaringan program kerjasama dengan alumni IIUM.

Dalam aspek bayaran balik pinjaman, PTPTN sentiasa komited untuk memastikan para peminjam PTPTN dapat melaksanakan tanggungjawab bayaran balik dengan konsisten.

“PTPTN optimis dengan bantuan galakan dari pihak Universiti, PTPTN dapat mendekati para peminjam dan melaksanakan pelbagai program secara bersama untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan bayaran balik pinjaman,” tambah kenyataan itu.

Sehingga 31 Disember 2022, PTPTN telah membantu seramai 57,954 pelajar yang mengikuti pengajian di IIUM dalam pelbagai bidang melalui pemberian pinjaman pendidikan sekaligus memberi peluang kejayaan kepada mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast