KUALA LUMPUR – “Berilah masa dalam setahun untuk kerajaan baharu ini turunkan harga barang, saya nampak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang cuba usahakan.”
Itu harapan seorang pekerja swasta, Mohamad Karim Abdul Rahman, 57, mengenai masalah kenaikan harga barang yang menekan kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, usaha Perdana Menteri mengurangkan ketirisan perbelanjaan dalam kerajaan boleh dianggap sebagai langkah awal memastikan masalah kenaikan harga barang dapat ditangani.
Pendapat sama dikongsikan seorang peniaga aiskrim, Riduan Mahidin, 57, yang menganggap masalah tersebut tidak boleh diselesaikan sekelip mata.
“Memang saya terasa dengan harga telur, ayam, gula dan banyak lagi kenaikan harga barang. Namun, ini bukan isu yang baru berlaku. Saya percaya kerajaan baharu ini prihatin, mereka perlukan masa. Beri peluang, itu lebih adil.
“Saya pun berat hati bila mahu beli barang walaupun itu keperluan asas. Andai saya naik harga jualan pun risau jika orang tidak beli aiskrim saya. Saya fikir ini tanggungjawab semua untuk tangani termasuk pembekal dan pemborong,” katanya ketika tinjauan MalaysiaGazette di sini hari ini.
Seorang pekerja swasta, Nurlaili Mad Juda, 50, turut meluahkan rasa kesal berikutan kenaikan harga barang hari ini dilihat semakin tidak terkawal.
“Biasanya sebulan saya hanya peruntuk RM500 untuk beli barang dapur tapi sekarang ini hampir RM800 diperlukan. Saya memang sudah mencatu, berjimat-cermat tapi ia agak sukar kerana kesemua itu barang keperluan asas. Saya perasan harga telur dan ayam paling ketara meningkat,” ujarnya.
Seorang anak muda, Fatihah Rasul, 26, yang baru memulakan kerjaya sebagai jururawat di sebuah hospital swasta berkata, harga makanan sudah meningkat dua kali ganda.
“Dulu kalau makan tengah hari di kedai tepi jalan hanya peruntuk RM5 sahaja, sekarang ini saya perlu bayar RM10 ke atas. Bayangkan, harga air bancuh pun sudah RM4. Saya harap ada tindakan daripada kerajaan termasuk naikkan gaji agar setimpal dengan kenaikan harga barang,” ulasnya.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah quick win solution terhadap isu kos sara hidup dan rantaian makanan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ia bagi membolehkan jaminan bekalan makanan dapat dipenuhi sekali gus membantu mengawal kenaikan harga. – MalaysiaGazette