Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan tindakan parti yang menggantung keahliannya selama enam tahun bukan satu pengakhiran.

Beliau akan membawa perkara itu ke perbincangan peringkat Bahagian UMNO Sembrong bagi mencorak hala tujunya.

“MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO telah memutuskan untuk menggantung keahlian saya dalam parti selama enam tahun.

“Berkenaan apa langkah seterusnya saya terpaksa berbincang dengan kepimpinan UMNO Sembrong untuk memikirkan apa hala tuju dan tindakan saya selanjutnya.

“Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk cekal berjuang demi agama, bangsa dan tanahair.

“Ini bukanlah pengakhiran tapi adalah permulaan yang baharu,” katanya di Instagram beliau hari ini.

Video berdurasi 50 saat itu dimuat naik kurang 24 jam selepas MKT UMNO membuat keputusan untuk menggantung keahlian beliau, semalam.

Hishammuddin bagaimanapun tidak memperincikan sama ada beliau akan membuat rayuan atau tidak.

Cucu kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar itu antara empat pemimpin UMNO yang digantung selain Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff.

UMNO turut turut memecat keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin. – MalaysiaGazette