Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra dengan orang ramai selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membelanjakan dana kira-kira RM100 juta bagi keperluan dan pendidikan kepada lebih 40,000 anak-anak golongan asnaf sepanjang tahun lepas.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan tiada anak-anak asnaf yang tercicir dari digitalisasi pendidikan dengan menyediakan kemudahan tablet dan wifi percuma kepada golongan itu.

Beliau berkata, jumlah terbabit adalah sebahagian daripada RM 855,519,208.03 dana zakat yang diagihkan menerusi skim Bantuan MAIWP dengan jumlah penerima sebanyak 220,769 penerima.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

Selain itu, katanya, MAIWP setiap bulan telah mengagihkan bantuan kewangan bulanan berjumlah RM500 sehingga RM1,000 kepada lebih 30,000 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan saudara baru.

“Pada masa sama, MAIWP turut bekerjasama dengan pusat latihan dan pemain industri bagi menyediakan program latihan industri dengan jaminan kerjaya kepada anak-anak asnaf.

“Seramai 351 asnaf dengan peruntukan empat RM4.3 juta dana zakat telah diperuntukkan bagi membiayai kursus dan latihan kemahiran ini sebelum anak-anak ini diserap dalam dunia pekerjaan yang sebenar.

“Program latihan kemahiran bersama jaminan pekerjaan akan menjadi fokus utama untuk kelestarian asnaf di masa mendatang,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Karnival MAIWP 2023 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Karnival tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan  Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Men teri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut turut berkenan mengurniakan sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000 kepada Ikon Usahawan MAIWP, Robiatul Adawiah Ibrahim dan Ikon Pendidikan MAIWP, Dr. Muhammad Ameerullah Sahudin.

Selain itu, karnival tersebut juga akan turut dimeriahkan dengan Majlis Walimatul Urus Perdana yang akan diadakan hari ini melibatkan 100 pasangan pengantin yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan saudara baru.

Mengulas mengenai karnival itu, Mohd. Daud berkata, karnival tersebut akan dijadikan kalendar aktiviti tahunan untuk warga ibu kota.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pihaknya akan melaksanakan beberapa program lain sepanjang tahun ini.

Antaranya, kata beliau, penubuhan dapur berpusat (central kitchen), pembinaan Masjid Cina di Jalan Davis dan pembelian perumahan mampu milik di Labuan untuk golongan asnaf. – MalaysiaGazette