Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan sedang menunggu laporan pakar mengenai kejadian perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan semalam.

Menterinya, Anthony Loke mengakui LRT di kawasan berkenaan mengalami gangguan semalam disebabkan ada kerosakan struktur berdekatan Stesen Bandaraya.

Ia melibatkan laluan LRT Ampang.

“Semalam dan hari ini kita menunggu laporan daripada pakar dan jurutera untuk melihat sejauh mana struktur itu memberikan kesan dari segi keselamatan sama ada ia selamat untuk kita beroperasi semula. Jadi kita masih menunggu laporan daripada pakar dan jurutera,” katanya ketika ditemui hari ini.

RapidKL dalam satu kenyataan semalam berkata, laluan itu mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

LRT tersebut  dijalankan dengan kelajuan yang lebih perlahan menyebabkan kelewatan perkhidmatan sembilan minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan.- MalaysiaGazette