Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Persidangan Tahunan UMNO dan Pemilihan Jawatankuasa, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan akan berlangsung dari 1 Februari hingga 26 Februari 2023.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian akan berlangsung pada 11 Mac ini.

Turut diadakan pada tarikh tersebut adalah Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula diadakan pada 18 Mac ini.

“Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat adalah bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 pukul 5 petang.

“Kenyataan terperinci mengenai hal ini akan dimaklumkan kemudian,” kata Ahmad dalam kenyataan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MKT UMNO malam tadi yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tan Sri Shahrir Ab Samad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023. – MalaysiaGazette