Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Malaysia (ACCCIM) 2023 di Wisma Chines Chamber, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 28 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – DAP mengambil pendekatan untuk menyerahkan kepada kebijaksanaan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu mengambil Khairy Jamaluddin atau Tan Sri Noh Omar sebagai ahli mereka.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, perkara itu tidak perlu terburu-buru kerana bekas Menteri Kesihatan itu belum membuat sebarang keputusan.

“Terpulang kepada mereka (Khairy dan Noh) dan mereka belum menyatakan hasrat mereka. Jadi kita tidak payah buat kenyataan terburu-buru.

“Jadi kalau ada sesiapa yang mahu mohon itu parti masing-masing akan pertimbangkan. Kita tidak mahu beri apa-apa komen lagi,” katanya kepada media selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Tahun Baru Cina 2023 pihak Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) hari ini.

Anthony diminta mengulas mengenai tindakan UMNO yang memecat bekas Ahli Parlimen Rembau dan beberapa pemimpin lain parti itu semalam.

Dalam pada itu, DAP jelas Anthony, tidak akan memberikan apa-apa jemputan terhadap Khairy mahu pun Noh.

“Saya rasa kita tidak perlu buat apa-apa jemputan untuk menyertai mana-mana parti, itu terserah kepada individu-individu tersebut.

“Saya yakin mereka tahu apa yang bagus untuk mereka,” katanya lagi.

Selain Khairy, turut dipecat ialah Noh yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor selain turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.– MalaysiaGazette