Pemandu e-hailing yang mengambil penumpang secara haram antara ditahan JPJ di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini.

BAYAN LEPAS – Tawar harga lebih murah berbanding teksi dan e-hailing untuk tarik pelancong asing serta orang tempatan.

Itu modus operandi ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang berjaya dibongkarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan ‘ulat’ yang terdiri daripada pemilik kereta sapu, teksi serta pemandu e-hailing di LTAPP sejak seminggu lalu.

Susulan aduan itu, pihaknya menjalankan Ops Ulat di LTAPP yang membawa kepada tangkapan enam lelaki tempatan yang menjadikan kereta persendirian serta kenderaan perkhidmatan awam (teksi) untuk mengambil penumpang secara haram di kawasan tersebut.

Adenan.

“Sasaran utama mereka (ulat) didapati mendekati pelancong asing khususnya yang datang secara berkumpulan memandangkan majoriti mereka yang melakukan kegiatan ini menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) sekali gus mampu memuatkan lebih daripada empat pelancong.

“Selain itu, mereka turut menawarkan harga lebih murah berbanding harga teksi serta e-hailing.

“Berdasarkan tangkapan hari ini, kita dapati modus operandi sama digunakan untuk menarik warga tempatan naik kenderaan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Justeru, Adenan memberi amaran agar ulat menghentikan kegiatan itu yang bukan sahaja tiada perlindungan insurans kepada penumpang, malah, menjejaskan imej negara.

Pemandu teksi (baju biru) didapati mengambil penumpang asing secara haram di LTAPP hari ini.

Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette yang turut serta dalam operasi bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang itu mendapati ulat-ulat tersebut mencari ‘pelanggan’ dengan cara berbisik bagi warga tempatan.

Manakala bagi pelancong pula, mereka diambil oleh ‘ulat’ yang menggunakan kereta perkhidmatan awam bagi memastikan pelancong itu yakin mereka teksi yang sah sekali gus mengaburi kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Berdasarkan operasi itu juga, tambang tertinggi yang dikenakan ulat terhadap penumpang yang ingin ke Nibong Tebal hanya RM80 yang dikatakan beza hampir 20 peratus daripada caj teksi sah.

Difahamkan, ‘ulat’ mampu mengaut untung RM350 sehari, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu teksi, limo serta e-hailing yang sah.

Teksi digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta menyakinkan pelancong asing.

Sementara itu, seorang pelancongan warga Singapura yang enggan dikenali kecewa apabila percutian pertamanya ke negeri ini bersama isteri terpaksa dihabiskan di balai polis susulan kenderaan yang dinaiki mereka adalah kereta sapu.

Pelancong warga Singapura.

“Saya tak tahu pemandu itu melakukan kegiatan kereta sapu secara haram. Saya dan isteri ingatkan mereka pemandu e-hailing sah memandang mereka mendekati kami di kawasan lapangan terbang.

“Bukan itu saya, harga RM40 yang ditawarkan untuk ke hotel di Batu Feringghi kami tak tahu ia rendah berbanding caj perkhidmatan awam yang sah memandangkan ini merupakan kali pertama saya isteri ke Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette