Shahidan Syed Saddiq hijrah UMNO kuat veteran pengampunan BN PH PRN
Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – UMNO akan bertambah kuat dan lebih bersatu padu setelah ia melakukan ‘pembersihan’ dengan memecat dan menggantung sekumpulan individu yang didapati mengkhianat dan mensabotaj parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, langkah itu memastikan tidak wujud lagi kem dan puak dalam parti selain daripada ‘puak dan kem UMNO’.

Malah beliau percaya, tindakan ‘pembersihan’ itu menjadikan UMNO lebih bersedia untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Semua jentera juga tidak pernah luntur semangatnya walaupun kita kalah dalam PRU-15 yang lalu. Perlu diingat UMNO hanya kena pukulan TKO dan bukannya pukulan KO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapha mengulas mengenai keputusan mesyuarat Majis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi yang memecat bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

MKT UMNO juga memutuskan tindakan penggantungan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diberikan surat tunjuk sebab.

Mustapha memberitahu, keputusan yang diambil oleh MKT UMNO dalam mesyuarat malam tadi adalah sebagai menjalankan tugas dan ketetapan serta cadangan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin parti.

Beliau menjelaskan, keputusan itu bukan dibuat oleh Ahmad Zahid bersendirian tetapi keputusan MKT setelah dicadangkan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Lembaga Disiplin UMNO telah bertindak mengikut kuasa yang diperturunkan kepada oleh MKT perpandukan peruntukan yang terdapat dalam Peelembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO.

“Seseorang ahli yang terbukti bersalah melanggar peruntukan Perlembagaan dan Tataetika Ahli UMNO boleh diambil tindakan samaada diberi amaran, digantung atau dipecat,” katanya.

Mustapha menambah, pemecatan dan penggantungan ahli UMNO bukan tidak pernah berlaku sebelum ini malah bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dipecat semasa zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Katanya lagi, bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dipecat semasa zaman Dr. Mahathir.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan apabila Lembaga Disiplin dan MKT UMNO berpendapat  seseorang ahli itu boleh membahayakan parti dalam tindak-tanduknya.

“Walaupun keputusan itu sukar dan tidak popular tetapi ia perlu untuk kelangsungan parti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast