Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama salah seorang penerima Anugerah Cemerlang 2022 sempena Majlis Apresiasi Pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah ke-18.

KUANTAN – Tanpa pendidikan, rakyat dan negara tidak boleh maju, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Malah, titah baginda, hanya melalui pendidikan sahaja kadar kemiskinan di sesebuah negara dapat dihapuskan.

“Sistem pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah menuntut guru berperanan sebagai pemudahcara dan penjana transformasi pendidikan negara.

“Guru perlu melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi, strategi yang berterusan serta berkemahiran tinggi dalam literasi multimedia seiring dengan aspirasi negara,”titah baginda.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kiri) dan Guru Besar SK Tunku Azizah, Sharipah Hadibah Habib Noh (kanan)

Baginda bertitah demikian sebelum berkenan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2022 kepada 121 pelajar dalam Majlis Apresiasi Pendidikan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah ke-18.

Baginda diiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Guru Besar SK Tunku Azizah, Sharipah Hadibah Habib Noh.

Tunku Azizah turut mengingatkan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang perlu sentiasa memberi kerjasama dengan kepimpinan sekolah untuk meningkatkan keberhasilan murid-murid.

“PIBG hendaklah berganding bahu bersama seperti seikat bak sireh, serumpun bak serai bagi membolehkan kurikulum lebih relevan dengan masyarakat setempat dan memberi maklum balas tentang kualiti pembelajaran anak mereka,” titah baginda.

Namun, ibu dan bapa perlu memainkan peranan yang lebih penting dalam mencorak sahsiah dan pembangunan jati diri generasi kini.

Seiring peredaran zaman, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membasmi penularan masalah sosial yang semakin membimbangkan.

“Isu disiplin dan penggunaan Internet seperti laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram perlulah diberi perhatian dan dipantau oleh pihak ibu-bapa dan juga cikgu-cikgu.

“Ibu bapa juga perlu juga mengenal pasti rakan terdekat anak-anak mereka agar pergerakan mereka dapat dikawal.

“Perhatian dan kasih sayang perlu diberi kepada anak-anak supaya mereka tidak merasa tersisih dan membawa haluan sendiri tanpa bimbingan.

“Didikan agama yang mantap perlu dititikberatkan kerana ia mampu membentuk sahsiah yang baik dalam diri anak-anak,” pesan baginda lagi.

Dalam ucapannya, baginda sempat berkongsi petua sepanjang membesarkan anakanda-anakanda baginda dan memberi contoh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah.

Menurutnya, baginda tegas dengan kesemua anakandanya dan menetapkan mereka perlu tidur seawal jam 8 malam supaya minda lebih cerdas pada keesokan hari.

“Dan juga, kalau nak anak tinggi, tengok sahaja Pemangku Raja Pahang (Tengku Hasanal) ketinggian 184 sentimeter (cm). Berapa tinggi Pemangku Raja tu kerana cukup tidur. Pukul 8 dah masuk tidur,” ujar baginda sambil berseloroh.-MalaysiaGazette