KUALA LUMPUR – MAIWP RUN Powered by PPZ sempena Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan diadakan setiap tahun, sebelum sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, menerusi program ini, MAIWP dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati majlis ini melalui pameran jualan usahawan asnaf, perkhidmatan daripada institusi pendidikan dan kesihatan serta pelbagai aktiviti lain.
”Kita akan adakan program ini setiap tahun dengan konsep kemasyarakatan sebegini,” katanya yang ditemui pada acara MAIWP Run Powered By PPZ.
Lebih kurang 6,000 peserta menyertai MAIWP Run Powered By PPZ yang juling-julung kali diadakan sempena karnival yang berlangsung selama dua hari sejak semalan di Dataran Merdeka.
Dengan tema Unity In Diversity, program larian anjuran Pusat Pungutan Zakat MAIWP disertai oleh pelbagai peringkat umur, agama dan latar belakang termasuklah para pelajar, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan banyak lagi.
Abdul Aziz gembira dengan sambutan memberangsangkan daripada orang ramai menyifatkan program seperti ini dapat memberi peluang orang ramai untuk beriadah, pada sama sama dapat menyebar dakwah tentang kepentingan menyantuni golongan memerlukan.
“Acara MAIWP Run Powered By PPZ ini selari dengan tema yang kita pilih Unity In Diversity iaitu merangkumkan kepelbagaian dalam program yang disertai oleh pelbagai peringkat umur.
“MAIWP mahu masyarakat keseluruhannya mendekati dan bekerjasama dengan kami untuk membantu golongan asnaf dan bersama-sama juga melibatkan golongan ini dalam aktiviti,” katanya ketika hadir di program berkenaan.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette