Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelesaikan masalah kekurangan guru di semua negeri sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada Mac depan, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya mengumumkan akan mengisi 50 peratus daripada anggaran jumlah 3,000 kekurangan guru di Sarawak menjelang Mac sebagai langkah awal menyelesaikan isu berkenaan di negeri itu.

“Di negeri lain juga terdapat isu kekurangan guru cuma ia tidak berada pada tahap kritikal berbanding Sarawak, sebab itu pihak kementerian menangani masalah di sana dahulu.

“Kita juga akan meneliti dan melihat perkara ini terutama dari segi persediaan guru sebelum sekolah buka pada Mac depan. Kita akan atasi mana-mana negeri yang ada masalah kekurangan guru,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan beliau agar tiada sekatan dikenakan kepada guru dalam menyuarakan kebimbangan berhubung sesuatu isu menerusi media sosial, Fadhlina berpandangan selagi ia bersifat konstruktif pihak kementerian tiada masalah untuk menerimanya.

Katanya KPM sentiasa mempunyai ruang dalam meraikan kritikan membina terutama daripada guru, namun ia perlu dilakukan menerusi saluran yang betul.

“Kita di KPM meraikan apa saja kritikan kerana kita sedia mendengar dan mahukan input itu, apatah lagi daripada guru-guru kita,” katanya.

Jumaat lalu, Fadhlina dilaporkan berkata mahu budaya memberikan amaran terhadap guru yang mengkritik di media sosial dihentikan segera, sebagai respons kepada guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Hasmadi Hamdan yang diberikan amaran oleh pegawai kerana mengkritik di media sosial. -BERNAMA