Dr. Maszlee Malik.- Foto AFFAN FAUZI, 06. NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pelajaran Dr. Maszlee Malik memohon maaf terutama kepada wanita berikutan menuturkan dialog lucah dalam sebuah drama bersiri.

Pemimpin PKR itu berkata, beliau mengakui kekhilafan dan kesilapan menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya hingga mengganggu kesejahteraan emosi dan minda penonton.

“Saya Dr Maszlee bin Malik ingin membuat pemohonan maaf secara terbuka kepada semua terutamanya kepada kaum wanita di mana jua kalian berada.

“Saya menyedari akan keberkesanan filem dan drama dalam menyampaikan mesej yang baik dalam masyarakat.

“Namun, ia tidaklah sampai menyinggung sensitiviti mahupun budaya,” kata Maszlee dalam kenyataan.

Dalam drama Kudeta, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu melakonkan watak perdana menteri yang jahat dan berada dalam dipenjara.

Beliau berharap pihak Astro boleh menapis babak tersebut demi menghormati sensitiviti ramai pihak.

“Saya juga berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan, nasihat samada secara peribadi mahupun umum.

“Moga Allah ampunkan segala kesilapan saya dan himpunkan kita semua dalam kebaikan,” kata Maszlee.

Beliau bagaimanapun mengajak rakyat untuk menonton siri drama itu kerana ia merupakan drama Melayu berunsur politik, thriller dan aksi.

Selain babak lima saat yang kontroversi kata Maszlee banyak yang boleh dipelajari daripada drama berkenaa.

Klip video lakonan Maszlee berdurasi 15 saat tular di media sosial terutama di Twitter.

Dalam video tersebut Maszlee mengungkapkan ayat, “Tapi lagi kesian kat kau. Apam kau itu sudah kering, memang patut Yusof mencari apam yang lebih basah”.

Ayat tersebut ditujukan kepada watak Mariam Imrana yang dilakonkan oleh Vanita Imran.

Rata-rata netizen beranggapan Maszlee sebagai bekas Menteri Pendidikan tidak wajar mengungkapkan ayat tersebut kerana biar pun ia merupakan sebuah lakonan.

“Dr. Maszlee seorang mantan pensyarah berkelulusan BA, MA syariah dan PhD politik, mantan AJK Fatwa, tokoh pemikir IKRAM, thinktank penubuhan Amanah dan mantan Menteri Pendidikan. Sepatutnya dia tahu limitasi hukum yang mana boleh dan tidak boleh. Berdialog lucah sebegini,” tegur Richard Malanjum di Twitter.-MalaysiaGazette