Suasana di persekitaran pantai pada hujung minggu ketika tinjauan Malaysia Gazette di Teluk Kemang Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR – Penyakit African Swine Fever (ASF) yang menyebabkan seekor babi ditemui mati di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson adalah penyakit bukan zoonotik dan ia tidak menjangkiti manusia.

Sehubungan itu, orang awam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Port Dickson, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Menurutnya, surat pemakluman yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) bertarikh 10 Januari 2023 tentang kematian haiwan itu  bertujuan untuk memaklumkan kepada orang awam dan pemain industri setelah pengesahan ke atas sampel tulang daripada bangkai babi terbabit.

”Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh JPVNS untuk membendung perebakan penyakit ASF di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Namun, DVS mengambil maklum terdapat kekeliruan yang tular baru-baru ini berkaitan penyakit ASF dan memohon jasa baik semua pihak agar tidak menularkan berita yang tidak tepat dan segera merujuk kepada DVS bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Orang awam boleh merujuk kepada poster atau video yang telah dihebahkan bagi meningkatkan lagi kesedaran berkaitan penyakit ini.

Sehingga kini, jangkitan penyakit ASF di Negeri Sembilan adalah terkawal.

Tiada lagi laporan kematian pada babi hutan mahupun ternakan babi komersil berikutan kejadian kes ASF di Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette