KUALA LUMPUR – Agrico for Agricultural Development Company (Agrico Qatar) melalui anak syarikatnya Agrico Malaysia Sdn. Bhd. bersedia untuk melabur dan menjalinkan kerjasama dalam sektor pertanian dengan jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Kementerian itu dalam kenyataan media hari ini berkata, kerjasama itu terutamanya adalah dalam projek akuakultur, pertanian bersepadu, bekalan baja dan makanan ternakan.
“MAFS turut bersedia untuk memudah cara kerjasama antara jabatan atau agensi di bawah MAFS dengan Agrico Qatar bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan,” katanya.
Hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Pengasas Agrico Qatar, Ahmad Hussen Al-Khalaf di pejabatnya di Putrajaya.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh wakil Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan wakil Kedutaan Besar Qatar di Malaysia serta pegawai-pegawai kanan MAFS.
Agrico Qatar merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan organik serta akuakultur dan pengurusan sisa organik.
Semasa lawatan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke Qatar pada 26 hingga 29 Mac tahun lalu, Agrico Qatar telah menyatakan hasratnya untuk melabur dalam sektor pertanian bagi pembangunan buah-buahan berkualiti premium dan fasiliti pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia.
Sehubungan itu, pertemuan antara Mohamad dan Ahmad kali ini adalah susulan terhadap cadangan kerjasama antara Agrico Qatar dalam sektor pertanian di Malaysia tersebut. – MalaysiaGazette