Zaidi (kanan) melihat kerosakan pada bas sekolah milik bapanya yang terbabas di Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja, Melaka selepas dipercayai cuba dilarikan seorang lelaki yang berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis.

MELAKA – Tindakan seorang lelaki cuba melarikan sebuah bas sekolah membawa padah apabila kenderaan itu terbabas di tepi Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja di sini petang tadi.

Lelaki terbabit kemudiannya ditahan oleh orang ramai.

Kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu disedari salah seorang ahli keluarga pemilik syarikat bas sekolah 44 penumpang itu yang kemudian menghubungi pemilik bas terbabit.

Zaidi Basri, 42, berkata, dia dihubungi saudaranya pada pukul 5.15 petang memaklumkan bas milik bapanya itu yang diletakkan di sebuah stesen minyak berhampiran dilarikan orang.

Zaidi Basri

“Saya terus ke lokasi apabila dimaklumkan bas berusia 20 tahun diusahakan bapa, Basri Jafar sudah terbabas di tepi Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja.

“Sebaik tiba, saya lihat seorang lelaki yang dikatakan memandu bas sekolah bapa sudah berjaya ditangkap oleh orang ramai ketika dia cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Kami kemudian menghubungi polis dan menyerahkan lelaki berusia 30-an itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Zaidi Basri (kanan) melihat kerosakan pada bas sekolah milik bapanya yang terbabas di Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja, Melaka selepas dipercayai cuba dilarikan seorang lelaki yang berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Menurut Zaidi, walaupun mengalami kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan teruk pada bas berkenaan, dia bersyukur kerana ia tidak melibatkan pengguna jalan raya lain.

“Mujurlah bas itu terbabas ke kiri Lebuh AMJ menyebabkan cermin hadapan pecah akibat rempuhan pada papan tanda selain kerosakan pada bahagian tangki apabila bas terhumban ke dalam longkang.

“Kalau bas itu melanggar kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat di hadapan, keadaan tentu lebih teruk kerana mungkin menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette