Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa (empat kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan (tiga kanan) bergambar bersama penerima anugerah serta penyumbang pada Majlis Makan Malam Personaliti Quran sempena kutipan Dana Wakaf Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Demi memastikan lulusan maahad tahfiz yang bergelar huffaz (penghafal al-Quran) dapat  bersama graduan institusi pengajian lain di negara ini, kerajaan akan memperkenalkan semula Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peluncuran dasar itu dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Mac depan.

Ia bagi membolehkan golongan huffaz juga dapat menyumbang kepada ekonomi negara melalui kerjaya dalam bidang profesional.

“Melalui DPTN, kerajaan mahu pastikan golongan huffaz tidak hanya bekerja sebagai imam, guru atau bidang berkaitan sebaliknya kerajaan mahu mewujudkan kerjaya profesional kepada mereka.

“Kita mahu hasilkan pemimpin negara dan ahli profesional dari kalangan huffaz sekaligus mengangkat martabat mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Personaliti Quran di Nasyrul Quran di sini malam ini.

Untuk rekod, DPTN pernah dilancarkan pada 2016 bertujuan bagi memastikan terdapat penyelarasan daripada segi kaedah pengajaran dalam institusi tahfiz.

Ia sebagai garis panduan kepada kerajaan dalam pengurusan pendidikan tahfiz di Malaysia. – MalaysiaGazette