Mohamad Farouk Eshak.

AMPANG – Seorang buruh binaan dikatakan menumbuk muka ibu saudaranya berulang kali selepas berang ditegur kerana menumpahkan cat dan membuang botol minuman keras hadapan rumah.

Suspek lelaki tempatan akhirnya diberkas polis selepas kejadian pada Ahad di sebuah perumahan di Jalan Maju Utama, Ampang Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada pukul 9.45 malam, semasa pengadu yang juga seorang penghantar bunga berumur 50 tahun berada di rumah telah berlaku perselisihan faham antaranya dengan suspek.

“Siasatan polis mendapati pengadu telah menegur suspek kerana telah menumpahkan cat di hadapan rumah dan membuang botol minuman keras sehingga pecah.

“Kerana berang ditegur, suspek telah memukul mangsa sehingga menyebabkan kesakitan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pada hari sama, anggota Unit Rondaan Bermotosikal Zon 3 IPD Ampang Jaya telah berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan mempunyai tiga rekod lampau yang melibatkan kes jenayah. Suspek berjaya direman di Mahkamah Ampang selama empat hari sehingga 2 Februari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Jika disabitkan kesalahannya boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” tegasnya. – MalaysiaGazette