Petugas memegang plakad informasi perjalanan bagi memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan LRT susulan gangguan perkhidmatan akibat jajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembaikan jajaran yang bengkok berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya akan dilakukan dalam masa terdekat selepas Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) memuktamadkan cadangan daripada perunding dan pakar kontraktor yang dilantik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, pihaknya sedang meneliti cadangan daripada perunding dan pakar kontraktor terhadap kerosakan yang berlaku.

“Kami sangat mengambil keutamaan dalam kerja-kerja baik pulih, oleh itu kita perlu teliti cadangan daripada perunding dan pakar kontraktor terhadap kerosakan yang berlaku.

”Apabila kerja pembaikan telah selesai, kita akan buat ujian terlebih dahulu melalui trek tersebut untuk memastikan keselamatan,” katanya kepada media selepas melakukan tinjaun di stesen LRT Masjid Jamek di sini hari ini.

Amir Hamdan

Bagaimanapun Amir berkata, pihaknya  tidak dapat memaklumkan secara tepat bila perkhidmatan LRT laluan terlibat akan dibuka semula kepada pengguna.

Namun, katanya,  maklumat akan diberikan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, jelasnya keadaan di stesen LRT Masjid Jamek berada dalam keadaan terkawal dengan pertambahan bilangan 34 buah bas perantara percuma dan 200 kakitangan sokongan yang ditempatkan untuk mengawal dan membantu penumpang.

Semalam, Rapid KL mengumumkan lanjutan waktu puncak LRT laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel, khususnya di stesen pertukaran Masjid Jamek dan Hang Tuah.

Waktu puncak dipanjangkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi, manakala waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam. – MalaysiGazette