Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bercakap kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2023 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kes kusta baharu dalam negara meningkat 15.5 peratus pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah ini berbeza daripada tahun sebelumnya yang berkurang sebanyak 21.5 peratus.

“Peningkatan ini adalah hasil daripada pengesanan kes secara aktif di lokaliti endemik yang dilakukan oleh anggota kesihatan peringkat daerah,” katanya sempena Hari Kusta Sedunia menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, kes baharu penyakit kusta di peringkat global pada 2021 meningkat sebanyak 10.2 peratus.

Katanya lagi, kusta yang merupakan penyakit berjangkit kronik boleh menjangkiti kontak rapat melalui pernafasan apabila rembesan di udara mengandungi Mycobecterium lepare.

Zaliha berkata, sejak empat dekat yang lalu sebanyak 18 juta pesakit kusta di dunia telah berjaya di rawat.

“Dengan pemberian rawatan WHO Multidrug Therapy (WHO-MDT) sehingga sembuh dan ini secara langsung telah mengurangkan kadar pravelan kusta di dunia sebanyak lebih 95 peratus.

“Rawatan WHO-MDT amat berkesan dan tempoh rawatan adalah di antara enam hingga 12 bulan bergantung kepada jenis kusta yang dihidapi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, kesedaran tentang penyakit tersebut masih perlu disebarkan supaya masyarakat faham bagaimana kusta berjangkit.

“Hari Kusta Sedunia disambut untuk memperingati mereka yang terkesan akibat penyakit ini dan memberi kesedaran bahawa kusta masih wujud dan masyarakat perlu memainkan peranan di dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan kehidupan pesakit diteruskan.

“Penyakit yang sering terpalit dengan stigma dan diskriminasi ini perlu diuar-uarkan agar masyarakat mengetahui bahawa ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang tiada kaitan dengan keturunan dan ia boleh sembuh,” tambahnya.- MalaysiaGazette