Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin beramah mesra bersama perwakilan pelajar selepas Majlis Perutusan Tahun Baru 2023 di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar.

“Ia sebagai langkah menamatkan kemiskinan melalui ilmu dan kemahiran,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPT di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, KPT juga akan memberi  sentuhan baharu terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan mengkaji kesesuaian untuk menjadikannya sebuah tabung amanah nasional.

“Kita mahu mengurangkan beban hutang PTPTN bagi memastikan kelestariannya serta menjadikan ia sebagai institusi pembiayaan pendidikan nasional yang membolehkan semua individu dari dalam dan luar negara untuk menyumbang kepada pendanaan pendidikan tinggi negara,” ujarnya.

Beliau berkata, KPT juga sedang meneroka ruang pendidikan yang anjal melalui penggabungan elemen bersemuka dan maya sebagai memanfaatkan platform digital serta teknologi kerana pendekatan sedemikian berupaya memberi impak pengurangan kos pengajian.

Menurut Mohamed Khaled lagi, pemilihan kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi di bawah KPT akan melalui proses saringan ketat, teliti serta objektif bagi memastikan jawatan diisi tokoh atau calon paling layak.

Saringan ketat itu bakal mencerminkan sikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal KPT dalam menterjemah pelbagai dasar dan program nasional.

“Negara ini memerlukan sektor pendidikan tinggi yang berfungsi dengan efisien dan cemerlang. Perkara ini mesti dimulakan dengan kepimpinan berwibawa dan berprestasi,” katanya.

Beliau turut menyeru warga IPT agar mendidik penuntut supaya berada di landasan tepat menepati piawaian akademik dan budaya intelektual.

Katanya, KPT ketika ini tidak lagi tertumpu kepada kemahiran insaniah dan amali semata-mata sebaliknya perlu dilengkapi dengan kepintaran mengurus manusia serta mengurus teknologi.

“Kematangan mengawal emosi, kemahiran pelbagai bahasa, kecekapan berunding, kemampuan memimpin perbincangan dan bekerja secara efektif dalam pasukan. Semuanya adalah kemahiran pintar,” tambahnya.

Bagi memperkasakan sistem dan ekosistem program Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata, rombakan besar-besaran akan dilakukan terhadap program berkenaan sebagai satu daripada usaha melahirkan pelajar berkemahiran dan cekap teknologi.

“Negara memerlukan ramai individu yang mempunyai kemahiran dan kecekapan teknologi bersifat ‘kalis masa depan’,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast