MELAKA – Seorang nelayan antara tiga bookie dikenakan denda RM7,300 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas semua mereka mengaku salah atas tuduhan membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022 pertengahan bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Richard Danker, 54, Linus Hilary Pinto, 60, dan Lim Soon Boon, 34, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, Richard yang bekerja sebagai nelayan dan Linus seorang penganggur didapati bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara atas talian menggunakan telefon bimbit bernilai RM150, 250.

Kesalahan itu dilakukan di Medan Portugis, Kampung Portugis pada pukul 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember tahun lalu.

Soon Boon yang merupakan pekerja restoran pula mengaku bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, Melaka pada pukul 6.40 petang, 10 Disember tahun lalu.

Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan.

Ketiga-tiga tertuduh dalam rayuannya bagaimanapun memohon denda yang ringan dengan alasan hanya bekerja sebagai nelayan, tidak bekerja dan memerlukan wang untuk urusan penceraian rumah tangga.

Majistret Sharda Shiena kemudian menetapkan Richard didenda RM2,500 selain Linus dan Soon Boon masing-masing RM2,400 atau sebulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast