KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut kepada RM57.8 juta minggu lalu, meskipun hari dagangan pendek kerana cuti Tahun Baharu Cina.

Setakat ini, pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM200.77 juta ekuiti Malaysia.

Minggu lalu menyaksikan hanya aliran keluar asing bersih, dengan aliran keluar paling ketara pada hari Jumaat sebanyak RM30.67 juta dan RM26.51 juta pada hari Rabu.

Aliran keluar pada hari Khamis sebanyak RM0.66 juta.

MIDF Research berkata, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih minggu lepas iaitu produk dan perkhidmatan pengguna (RM54.6 juta), tenaga (RM26.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM21.8 juta).

Manakala tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM140.5 juta), telekomunikasi dan media (RM14.3 juta) dan pembinaan (RM14.1 juta).

Menurutnya, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut selepas belian bersih ekuiti bernilai RM78.9 juta minggu lepas.

Terdapat aliran masuk bersih masing-masing sebanyak RM57.3 juta dan RM35.5 juta pada hari Rabu dan Jumaat manakala Khamis menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM14.0 juta.

Mereka merupakan pembeli bersih ekuiti domestik setakat tahun ini dengan jumlah aliran masuk bersih RM685.39 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit pula menjual sejumlah RM21.0 juta minggu lepas.

Mereka melupuskan sejumlah RM30.8 juta ekuiti pada hari Rabu dan RM4.8 juta pada hari Jumaat.

Khamis ialah hari belian bersih sebanyak RM14.6 juta.

Setakat ini, peruncit tempatan telah menjual bersih sebanyak RM484.62 juta ekuiti Malaysia.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan (19.2%) dan pelabur asing (4.6%).

Institusi tempatan pula merekodkan penurunan dalam ADTV mingguan 0.9%. – MalaysiaGazette