Remaja perempuan yang maut selepas terjatuh dari tingkat enam kediaman pangsapuri malam tadi. Kredit Foto, IPD Subang Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di kawasan Puchong Utama, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada jam 11.21 malam.

Polis telah mengklasifikasikan kes sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

Siasatan polis mendapati, remaja  tingkatan satu itu sempat meninggalkan nota kepada ibunya yang memaklumkan tertekan kerana dimarahi keluarga.

Difahamkan, mangsa merajuk dimarahi ibunya kerana mempunyai telefon bimbit tanpa kebenaran dan sering keluar malam.

“Pihak polis menjumpai beberapa nota tulisan tangan dipercayai milik mangsa yang  mendakwa tertekan dengan layanan keluarga terhadapnya,” kata Wan Azlan.

Mangsa, 13, merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah, mangsa terjatuh dari tingkap dapur rumah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, mayat simati telah dihantar ke Hospital Serdang. – MalaysiaGazette