Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin beramah mesra bersama perwakilan pelajar selepas Majlis Perutusan Tahun Baru 2023 di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Pemilihan kepimpinan di institusi pengajian tinggi dan agensi lain bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyaksikan proses yang ketat, teliti dan objektif bagi mencari tokoh paling layak dan berwibawa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khalid Norden berkata, langkah tersebut bagi memastikan sektor pendidikan tinggi berfungsi dengan efisien dan cemerlang.

Menurutnya, pemilihan pimpinan IPT dan agensi akan menjadi satu proses pencarian terbuka dan mengutamakan mereka yang memahami aspirasi nasional.

“Proses ketat ini kerana kita mahu mencari tokoh paling layak dan berwibawa. Kita mahukan semua kepimpinan IPT, terutamanya Naib Canselor serta timbalan mereka, menjadi pemimpin yang berkesan,” katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2023 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, pemimpin yang mengurus dan memimpin dengan harmoni mampu membongkar segala potensi dalam insititusi yang dipimpin.

Tambahnya lagi, semua perkara harus dipacu dengan kepimpinan yang baik kerana pembaharuan hanya akan terbit daripada kepimpinan kompeten dan dihormati.

“Pemimpin yang baik, akan membuahkan natijah yang baik. Ini adalah mesej tegas saya kepada semua pemimpin institusi pendidikan tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohamed Khalid mengingatkan naib canselor semua IPT memikul empat tugas utama iaitu menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional.

Katanya, mereka juga perlu menawarkan solusi kepada pelbagai permasalahan kebangsaan, menggemblengkan kebijaksanaan dimiliki dengan memberikan saranan kebaikan kepada bangsa dan negara.

“Kerajaan tidak melabur ratusan juta ringgit setiap tahun untuk golongan cerdik pandai hanya berdiam diri di menara gading,” katanya.

Sebaliknya, golongan itu juga perlu membangunkan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti, selain meraih dana, waqaf dan apa jua sumbangan bagi memastikan universiti mandiri dari segi kewangan serta pembangunan prasarana.

Beliau berkata, pemimpin universiti juga harus menjadi pemangkin yang membongkar pelbagai bakat, mengetengahkan peranan pemimpin wanita dan bakat muda daripada pelbagai latar belakang, di samping berupaya menjadi inspirasi kepada mahasiswa, pensyarah dan profesor.

“Saya sedar universiti bukan milik mana-mana individu, apatah lagi milik menteri. Universiti adalah amanah bangsa. Kemuliaannya sebagai gedung ilmu mesti dipertahankan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast