logo polis
Gambar hiasan

AMPANG – Seorang pengurus bank yang membuat laporan polis kononnya menjadi mangsa jenayah akhirnya dikesan memiliki kandungan video lucah dalam  telefon bimbitnya.

Suspek lelaki tempatan itu juga menjerit dengan membaling kerusi  di bilik pegawai penyiasat dan akhirnya diberkas serta-merta di balai polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada Ahad lalu, suspek berusia 29 tahun tampil ke balai polis dan membuat laporan polis palsu.

Dalam laporan itu, suspek mendakwa kononnya didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menaiki motosikal jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti dan meragut beg dompet miliknya di parkir kereta di Pandan Indah.

Di dalam beg berkenaan terdapat kad pengenalan, kad bank, kad kerja dan wang tunai lebih kurang RM250.

“Namun pada jam lebih kurang 5.54 petang, semasa penolong pegawai penyiasat (AIO) merakam percakapannya, suspek tiba-tiba meninggikan suara dan menjerit “saya telah menunggu lebih satu jam dan saya hadir ke balai polis hanyalah untuk membuat laporan”.

“Suspek juga terus bangun dan menghentak kerusi serta membalingnya ke arah pintu pejabat AIO sambil menjerit dengan kuat “saya mahu balik.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, polis telah merampas telefon bimbit suspek kerana berkelakuan tidak senonoh dan mendapati di dalam kandungan galeri telefon itu terdapat beberapa video lucah.

Katanya, suspek serta-serta merta ditahan polis dan semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga menunjukkan negatif.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 1 Februari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes ke atas suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 iaitu berkelakuan tidak senonoh di balai polis yang memperuntukkan denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu memiliki bahan lucah dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM2, 000 atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast