Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob hadir pada Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut ke-18 di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perolehan kumpulan pertama projek kapal tempur pesisir (LCS) telah dikurangkan daripada enam kepada lima buah.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pengurangan kepada lima unit itu telah dipersetujui selepas keputusan meneruskan projek itu telah dibincangkan semula oleh kerajaan pada tahun lalu.

“Sememangnya pada asal kita membuat ketetapan untuk memperolehi enam buah LCS. Tetapi, semasa kita mengemukakan permohonan semula dan dibincangkan perkara ini, LCS telah dipersetujui untuk dikurangkan kepada lima buah sahaja,” kata beliau dalam sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini.

Terdahulu beliau hadir menyampaikan perutusan ulung Panglima Tentera Laut Ke-18 di Auditorium Wisma Pertahanan, yang turut disiarkan secara langsung ke semua markas formasi TLDM di seluruh negara.

Turut hadir,Turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Panglima Armada Barat, Laksamana Madnya Datuk Abu Bakar Md Ajis; Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy; dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Abdul Rahman menambah, keputusan pengurangan perolehan kapal LCS telah dibuat semasa kerajaan memutuskan untuk meneruskan semula projek tersebut.

“Projek LCS memang diteruskan seperti biasa dan pelaksanaannya ketika ini sangat baik dan ada perjanjian tambahan keenamĀ  yang akan ditandatangani tidak lama lagi.

“Perjanjian tambahan ini akan membolehkan proses seterusnya berjalan dan pembinaan LCS dapat dilaksanakan seperti dirancang,” ujarnya.

Berhubung perkara itu, beliau turut menyatakan harapan tinggi agar TLDM dapat menerima LCS mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita berharap LCS diterima mengikut jadual yang ditetapkan kerana ketika ini kita amat kekurangan aset-aset berkeupayaan tinggi seperti LCS.

“Dengan adanya LCS ini, kita mampu untuk melaksanakan tugas-tugas pengoperasian dengan lebih cemerlang pada masa akan datang dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” tegasnya.

Katanya, perolehan aset LCS adalah antara yang terangkum dalam Pelan Transformasi TLDM 15to5 yang bakal melengkapkan TLDM dengan keseluruhan 55 buah kapal menjelang 2050 bagi menampung pengoperasian.

TLDM menggariskan keperluan 12 buah kapal LCS sebagai salah satu komponen penting pelan transformasi tersebut.

Pelan 15-to-5 dirancang untuk memperkemaskan kedudukan aset TLDM yang pada ketika itu terdiri daripada 15 buah kelas kepada lima.

Selain LCS, TLDM telah menggariskan empat kelas lain iaitu Littoral Mission Ship (LMS), New Generation Patrol Vessel (NGPV), Kapal Selam dan Multi Role Support Ship (MRSS). -MalaysiaGazette