Tan Sri Muhyiddin Yassin.-Foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melantik anak sendiri sebagai penasihat.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini seorang perdana menteri melantik anak sendiri bagi jawatn itu.

Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri menyifatkan tindakan Anwar melantik anak sulungnya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan sebagai mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang diperjuangkan pengikutnya.

“Pelantikan ini menjadikan slogan reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” kata Muhyiddin lagi.

Presiden Bersatu itu mendakwa sejak daripada awal, Anwar tidak memulakan langkah dengan betul.

Janji tatakelola yang baik oleh Anwar, menurut Muhyiddin, telah dikhianati apabila Presiden PKR itu melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin mendakwa, pelantikan tersebut hanya untuk untuk membalas budi Ahmad Zahid yang berjaya memujuk Ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

“Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan you scratch my back, I scratch your back.

“Bukan setakat itu sahaja, janji perdana menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin,” katanya.

Presiden Bersatu itu menambah, sebagai pemimpin parti pembangkang, beliau boleh mengambil kesempatan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya.

Namun sebagai rakyat biasa, beliau tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran perdana menteri.

Muhyiddin berkata, masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan.

Beliau meyarankan Anwar supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan menasihatkan Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri.

Selain itu, Anwar juga diminta untuk mengarahkan Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kes beliau selesai.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.