KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih berusaha untuk memastikan perolehan tiga buah kapal kumpulan kedua Kapal Misi Pesisir (LMS) dapat direalisasikan segera.
Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, ia adalah matlamat utama pihaknya bagi melengkapkan aset operasi TLDM dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan perairan negara daripada sebarang ancaman luar.
“Batch 2 (Kumpulan Kedua) LMS, kita masih berusaha dengan sepenuh tenaga untuk memastikan perolehannya dapat direalisasikan segera dan ia adalah hasrat dan matlamat utama kami.
“Ia sama seperti masalah pertama (perolehan kapal LCS), kita memang kekurangan aset-aset berkeupayaan tempur untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan di perairan negara.
“Permohonan ini kita harapkan dapat dilaksanakan dan diluluskan pada tahun ini juga untuk membolehkan kita meneruskan perolehan Kumpulan Kedua LMS,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas perutusan ulung bersempena memulakan tugas rasmi sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 pada hari ini di Auditorium Wisma Pertahanan.
Tambah beliau, proses perolehan LMS akan memakan masa yang lama sebelum ia dilibatkan dalam pengoperasian TLDM.
“”Kita bukan membina kapal setahun atau beberapa bulan ya.. paling kurang pun tiga tahun untuk menyediakan kapal itu (LMS).
“Jadi pada tempoh itu, kita akan berada dalam serba kekurangan (dari segi kelengkapan aset)..maka kami sangat berharap permohonan kita untuk memperolehi LMS Batch Kedua dapat kelulusan dengan kadar segera,” ujarnya.
Tegas Abdul Rahman lagi, kali ini TLDM memerlukan LMS berkeupayaan bertempur, merupakan perbezaan ketara berbanding empat buah LMS kumpulan pertama yang telah diperolehi daripada China sebelum ini.
“Untuk kesiapsiagaan pertahanan masa depan, kita sangat memerlukan LMS yang dilengkapi dengan keupayaan bertempur.
“Buat permulaan, kita memohon tiga buah LMS manakala yang seterusnya (11) akan diperolehi secara berperingkat mengikut kemampuan kerajaan kita,” katanya.
Melihat Pelan Transformasi 15-to-5, TLDM menggariskan perolehan sebanyak 18 buah kapal LMS.
Sehingga kini, terdapat empat buah LMS telah siap manakala angkatan laut negara telah memohon kelulusan untuk tiga buah lagi untuk kumpulan kedua LMS.- MalaysiaGazette