Ahmad Zahid beramah mesra bersama anak-anak kecil di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan Batu Pahat, Johor hari ini.

BATU PAHAT – Kerajaan akan membina pusat pemindahan sementara (PPS) kekal di lokasi yang sentiasa mengalami banjir di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan Jawatankuasa Bencana Pusat yang dipengerusikannya berikutan terdapat banyak dewan di sekolah dijadikan PPS setiap kali banjir buruk berlaku.

Di Johor umpamanya, ia akan dimulakan di Batu Pahat dan Mersing.

“Mengambil beberapa pendekatan yang proaktif awal bagi permindahanan ini oleh demikian kita telah mempunyai senarai awal tersedia bagi kawasan sering dilanda banjir dan kawasan PPS dipersiapkan.

“Saya juga telah menyebutkan beberapa tempat bahawa oleh kerana PPS telah menggunakan banyak sekolah-sekolah  dan sekolah itu berada dikawasan yang agak tinggi banjir jadi mana-mana sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara maka smart partnership antara NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan pihak sekolah akan dilakukan.

“Setakat ini, lapan sekolah telah didahulukan dan di Johor di Batu Pahat dan Mersing untui membina dewan-dewan sekolah yang akan dijadikan PPS,” katanya selepas mengadakan lawatan ke daerah Batu Pahat di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan petang tadi.

Ahmad Zahid petang tadi mengadakan siri lawatannya ke tiga PPS di daerah Batu Pahat. – MalaysiaGazette