Emman Azman

KUALA LUMPUR – Pemenang Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW) di Australia, Emman Azman sekali lagi mengharumkan nama negara apabila memenangi satu lagi acara antarabangsa.

Emman bergandingan dengan ahli gusti dari Kanada, Sunny Z menentang pasukan tuan rumah Thailand, Johnathan Johnson dan P’Suchart dalam pertarungan selama 14 minit 59 saat di Setup Thailand Pro Wrestling, Thailand 28 Januari lalu.

Beliau yang digelar Golden Boy itu menamatkan perlawanan dengan teknik tersendiri, KL Gold Running Elbow.

“Ini adalah pertama kali bertanding dalam acara ini, digandingkan pula dengan Sunny Z. Memang kami tidak pernah ada chemistry. Itu cabaran untuk Emman menyesuaikan diri dengannya dan akhirnya strategi kami menjadi.

“Dengan kemenangan ini di Thailand, Emman berharap dapat membuka ruang untuk ahli-ahli gusti di Malaysia bertanding di sini di samping dapat mengharumkan nama negara pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Emman dijangka mempertahan tali pinggang kejuaraannya pada Kejohanan Gusti New Breed anjuran My Pro Wrestling yang bakal diadakan pada 18 Februari ini di Kuash Theatre TTDI, di sini.

Kejohanan gusti itu akan menghimpunkan 12 ahli gusti dunia dari lima negara iaitu Australia, Singapura, Filipina, Jepun dan Dubai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast